flash

Tuesday, December 16, 2008

KEJAHATAN (AL-KHOBATH)

Pertama : Kejahatan Asli

Maksud kejahatan asli itu ialah segala perbuatan haram, meliputi segala tegahan Allah Taala dan larangan dalam agama Islam.

Kedua, kejahatan bukan asli:


Maksudnya, perbuatan yang halal (harus) tetapi dilakukan secara berlebih-lebihan atau melampaui batasan (al-fudhul). Biasanya dilakukan tanpa kawalan untuk memenuhi keinginan nafsu kebinatangan. Dalam hal ini termasuklah juga segala perlakuan yang ditegah oleh adat atau adab yang telah diterima umum untuk mendapat kebaikan atau kebajikan.

Kedua-dua faktor tersebut hendaklah dijauhi kerana salah satu atau kedua-duanya akan membawa kehancuran kepada agama dan diri sendiri. Faktor yang kedua itu, umpamanya, boleh merangsangkan runtunan nafsu ammarah dan seterusnya membawa orang yang terlibat ke bidang maksiat.


Berkata Imam al-Ghazali : "Janganlah berlebihan melakukan perbuatan walaupun yang tidak mudarat kerana ditakuti akan membawa mudarat. Makan terlalu kenyang, misalnya, boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan tabiat buruk. Demikianlah juga, berlebihan dalam yang halal itu, hendaklah ditinggalkan kerana ditakuti akan tergelincir ke dalam yang haram pula".


Apabila seseorang itu berjaya membebaskan diri daripada pengaruh maksiat, berkat kekuatan azam, kemantapan iman dan mendapat taufik daripada Allah SWT, maka orang itu disifat sebagai orang bertakwa, sebagaimana tersebut dalam Hadis Rasulullah s.w.a yang mafhumnya:

Sesungguhnya mereka dinamakan muttaqiin (orang-orang yang bertakwa) kerana mereka meninggalkan apa yang mendatangkan mudarat kepada mereka dan menjaga diri mereka.

Menurut pendapat Jumhur ulama, al-Khobath (kejahatan) itu adalah kefasikan dan kebinasaan yang jelas nampak pada mata kepala kita.

Ada juga yang mengatakan bahawasanya al-Khobath itu dikhususkan pada perihal zina secara khusus.

Ada juga yang mengatakan lagi, al-Khobath itu merujuk kepada anak-anak haram yang lahir dari perbuatan zina.

Secara kesimpulannya, dapatlah dirumuskan menurut apa yang diperkatakan oleh Iman al-Nawawi dalam Syarhu al-Nawawi ‘ala Muslim bahawa al-Khobath itu adalah segala bentuk maksiat secara mutlaknya.

Selanjutnya Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Anfal, ayat 25 :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan takutlah kamu kepada fitnah (malapetaka) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim di kalangan kamu. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Keras siksaan-Nya”

Dalam ayat ini antara lain menyebutkan: Allah menyuruh manusia berjaga-jaga dan beringat bahawasanya malapetaka itu bila datang bukanlah akan menimpa secara khusus kepada orang yang zalim sahaja, bahkan ia akan menimpa secara umum dan merata serta mengenai semua orang tidak kira baik atau durjana.

Banyak hadis yang menguatkan kenyataan ini. Diantaranya ialah :

1. Imam al-Baghawi meriwayatkan tentang sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya berbunyi:

“Sesungguhnya Allah tidak akan menyeksa sekumpulan orang ramai disebabkan perbuatan segolongan orang-orang tertentu, sehinggalah mereka yang ramai itu melihat orang yang berbuat mungkar berada dalam kalangan mereka walhal mereka berupaya menegahnya tetapi tidak menegahnya. Maka apabila mereka lakukan yang demikian itu, nescaya Allah akan menyeksa kumpulan orang ramai itu dan juga orang-orang yang tertentu itu”

2. Imam Ibnu Kathir meriwayat sebuah hadis dari Ummu Salamah r.anha, isteri Nabi Muhammad s.a.w yang mana telah berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Bilamana telah zahirnya maksiat di kalangan umatku, Allah akan menurunkan azab di sisi-Nya kepada mereka secara umum. Maka aku berkata lagi: Wahai Rasulullah s.a.w walaupun di kalangan mereka ada orang-orang yang soleh? Rasulullah s.a.w menjawab: Bahkan ada. Aku berkata lagi: Bagaimana Allah memperlakukan mereka? Rasulullah s.a.w menjawab: Mereka ditimpa juga dengan musibah sepertimana mereka yang berbuat maksiat kemudian di akhirat mereka akan kembali kepada mendapat keampunan dari Allah dan keredhaan-Nya”

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ini adalah merupakan peringatan dan ancaman yang keras kepada orang-orang yang berbuat fitnah dengan perkara-perkara yang menyebabkan malapetaka di muka bumi.

No comments:

Kebesaran Allah

Nama-Nama Allah

bersama mufti al-quds

Bagaimana dengan blog saya?